Jadi, kisah Hebat ini: Ia bermula lebih kurang 40 tahun yang lalu, apabila ibu dan bapa saya datang ke Kanada. Ibu saya meninggalkan Nairobi, Kenya. Ayah saya meninggalkan sebuah perkampungan kecil di luar kawasan Amritsar, India. Dan mereka sampai ke sini akhir 1960-an. Mereka menetap di sebuah penempatan di pinggir bandar sejam dari timur Toronto. Dan mereka bina kehidupan baru. Mereka berjumpa dengan doktor gigi pertama mereka, mereka makan burger buat pertama kalinya, dan mereka dikurniakan anak yang pertama. Saya dan kakak saya membesar di sini, dan kami mempunyai zaman kanak-kanak yang aman dan riang. Kami mempunyai keluarga yang rapat ramai kawan baik, kawasan kediaman yang aman. Kami membesar tanpa ambil kisah akan banyak perkara yang ibu bapa saya tidak boleh ambil ringan semasa mereka membesar-- perkara seperti bekalan elektrik yang sentiasa ada dalam rumah kami, perkara seperti sekolah di seberang jalan dan hospital-hospital yang berhampiran dan makan aiskrim di halaman belakang. Kami membesar, dan kami semakin matang. Saya pergi ke sekolah menengah. Saya peroleh ijazah. Saya berpindah keluar dari rumah, saya mendapat pekerjaan, saya bertemu seorang gadis, saya berkahwin-- dan saya sedar bunyinya seperti sinetron yang teruk atau seperti sebuah lagu Cat Steven.
Tapi kehidupan agak baik. Kehidupan agak baik. 2006 adalah tahun yang bagus. Di bawah langit biru yang cerah dalam bulan Julai di daerah wain di Ontario, saya berkahwin, dikelilingi oleh 150 ahli keluarga dan rakan-rakan. 2007 adalah tahun yang bagus. Saya telah menamatkan alam persekolahan, dan saya pergi makan angin bersama dua sahabat rapat saya. Ini merupakan gambar saya dan sahabat saya, Chris, di pantai Lautan Pasifik. Kami dapat melihat anjing laut dari dalam kereta kami, dan kami cepat-cepat keluar untuk ambil gambar mereka dan gambar mereka terlindung dek kepala kami yang besar. (Ketawa) Sebab itu anda tak dapat melihat mereka, tapi ia sungguh mengujakan, sungguh.
2008 dan 2009 sedikit mencabar. Saya tahu ianya lebih mencabar untuk sesetengah orang, bukan saya sahaja. Pertama sekali, berita-berita sangat serius. Ia masih serius sekarang, dan serius juga sebelum itu, tapi apabila anda menyelak surat khabar, bila anda memasang TV, ianya tentang litupan ais yang sedang cair, perang berlaku di sana sini, gempa bumi, puting beliung dan keadaan ekonomi yang tidak stabil dan hanya menunggu masa untuk merudum, dan akhirnya ia merudum, dan kesannya ramai antara kita kehilangan tempat tinggal, atau pekerjaan kita, atau persaraan kita, atau mata pencarian kita. Ada satu lagi sebab 2008, 2009 tahun yang mencabar bagi saya. Saya menghadapi banyak masalah peribadi pada waktu itu. Rumahtangga saya tidak berjalan lancar, dan kami semakin berjauhan hari ke hari. Satu hari isteri saya pulang dari kerja dan mengumpul keberanian, penuh dengan air mata, untuk melakukan perbualan yang sangat jujur. dan dia cakap, "Saya tak cintakan awak lagi." Dan ia merupakan antara perkara paling pedih pernah saya dengar dan semestinya perkara yang paling menghancurkan hati pernah saya dengar, sehinggalah sebulan kemudian, apabila saya mendengar sesuatu yang lebih menyayat hati.
Sahabat saya Chris, dia yang saya tunjukkan gambar sebentar tadi, sudah lama bertarung dengan penyakit mental. Dan kepada anda yang pernah berhadapan dengan penyakit mental, anda tahu betapa mencabarnya penyakit ini. Saya bercakap dengannya melalui telefon pada 10:30 malam pada malam Ahad. Kami berbual tentang rancangan TV yang kami tonton di sebelah petang. Dan pada pagi Isnin, saya dapat tahu dia menghilangkan diri. Amat menyedihkan, dia mengambil nyawanya sendiri. Dan itu merupakan saat yang amat sukar.
Dan semasa saya dihimpit dengan saat-saat susah ini, dan saya dapati ianya amat, amat sukar untuk memikirkan perkara baik-baik, saya berkata pada diri sendiri yang saya memerlukan jalan untuk fokus kearah positif walau apapun caranya. Jadi saya pulang dari kerja pada suatu malam, dan saya daftar masuk ke komputer, dan saya mulakan sebuah laman web kecil, yang bernama 1000awesomethings.com Saya mahu mengingatkan diri sendiri akan perkara yang mudah, biasa, nikmat kecil-kecilan yang kita semua suka tapi kita jarang bercakap mengenainya-- perkara seperti pelayan-pelayan restoran yang bawakan anda isian percuma tanpa anda memintanya, menjadi meja pertama dipanggil untuk ke bufet makan malam di majlis perkahwinan, memakai pakaian hangat yang baru keluar dari pengering, atau ketika juruwang buka kaunter bayaran baru di pasaraya runcit dan anda menjadi yang pertama dalam barisan-- walaupun sebenarnya anda yang terakhir di barisan yang satu lagi, terus sambar tepat di sana,
Dan secara perlahan-lahan, diri saya mula berada dalam keadaan yang lebih baik. Maksud saya, 50,000 buah blog muncul setiap hari. Dan blog saya cuma satu antara 50,000 itu. Dan tak ada sesiapa pun yang membacanya kecuali ibu saya. Walaupun saya boleh katakan yang pelawat blog saya bertambah dan meningkat hingga 100 peratus apabila dia menghantarnya kepada bapa saya. (Ketawa) Dan kemudian saya teruja apabila ia mula mendapat puluhan pelawat. Dan kemudian saya bertambah teruja apabila pelawat makin bertambah dan kemudian ratusan dan kemudian ribuan dan kemudian jutaan. Ia menjadi semakin besar dan besar dan besar. Dan kemudian saya menerima panggilan telefon, dan suara di hujung talian berkata, "Anda baru sahaja memenangi anugerah blog terbaik di dunia." Reaksi saya, bunyi macam menipu je. (Ketawa) (Tepukan) Negara Afrika manakah yang anda mahu saya salurkan semua wang saya? (Ketawa) Tapi sebenarnya, saya naik kapal terbang, dan akhirnya berjalan di atas karpet merah bersama Sarah Silverman dan Jimmy Fallon dan Martha Stewart. Dan saya naik ke pentas untuk menerima anugerah Webby untuk Blog Terbaik. Dan kejutannya dan kekaguman perkara itu hanya dibayangi dengan kepulangan saya ke Toronto, apabila, dalam peti masuk pesanan, 10 agen sastera menunggu saya untuk berbincang tentang membukukan blog saya. Kita melangkah ke tahun depannya dan buku "The Book of Awesome" kini sudah menjadi buku terlaris nombor satu untuk 20 minggu berturut-turut.
Tapi saya kata saya mahu lakukan tiga perkara dengan anda hari ini. Saya kata saya akan beritahu anda kisah Kehebatan, Saya mahu berkongsi dengan anda tiga K untuk Kehebatan, dan saya mahu anda membuat kesimpulan sendiri. Jadi mari bercakap tentang tiga K ini. Untuk beberapa tahun yang lepas, saya tak mempunyai banyak masa untuk berfikir. Tetapi sejak akhir-akhir ini saya berpeluang untuk berhenti sebentar untuk berfikir dan bertanya pada diri sendiri. Apa yang berlaku beberapa tahun ini yang telah membantu saya memperkembang laman web saya, dan juga membantu saya berkembang? Dan saya merumuskan semua perkara tersebut, untuk diri saya secara peribadi, sebagai tiga K. mereka adalah keperilakuan, kepekaan dan ketulenan. Saya ingin bercakap tentang setiap satu secara ringkas.
Jadi keperilakuan: Lihat, kita semua akan berhadapan dengan halangan, dan pasti ada aral yang melintang. Tapi tiada sesiapa pun boleh meramal masa hadapan, tapi kita tahu satu perkara dan ianya takkan mengikut rancangan. Kita semua akan kecapi masa-masa puncak dan hari yang istimewa dan saat-saat yang membanggakan kegembiraan pada hari dikurniakan ijazah, ayah-anak menari semasa majlis perkahwinan dan bayi comel yang berteriak di bilik bersalin, tapi kadang kala dalam kegembiraan itu, kita mungkin akan berhadapan dengan halangan dan dugaan juga. Ianya sedih, dan tidak enak untuk diperkatakan, tapi mungkin suami anda akan meninggalkan anda, teman wanita boleh curang, sakit kepala yang anda alami mungkin lebih serius dari yang disangkakan, atau anjing anda mungkin dilanggar kereta di jalan. Ia tidak seronok untuk difikirkan, tapi mungkin anak anda bergaul dengan samseng atau terlibat dalam situasi yang tidak elok. Ibu anda mungkin menghidap barah, ayah anda mungkin seorang yang kejam. Dan ada ketika dalam hidup bila anda akan dicampak ke dalam lubang gelap juga, dengan rasa yang perit dan hati yang terluka. Dan apabila berita buruk menghujani anda, dan bila kesakitan bertambah menyeksa, saya cuma harap anda merasakan seperti anda pasti mempunyai dua pilihan. Satu, anda boleh mundar-mandir dan sedih dan terseksa selamanya, atau dua, anda boleh bersedih hati dan kemudian hadapi masa depan dengan pandangan baru yang tenang. Mempunyai perilaku yang hebat adalah tentang memilih pilihan yang kedua, dan pilihlah, tak kira betapa sukar, tak kira apa sahaja kesengsaraan anda, pilihlah untuk bergerak kehadapan dan teruskan hidup dan ambil langkah-langkah kecil ke hadapan.
K yang kedua adalah kepekaan. Saya suka meluangkan masa bersama kanak-kanak 3 tahun. Saya suka cara mereka melihat dunia, kerana mereka melihat dunia untuk pertama kali. Saya suka cara mereka merenung kumbang melintasi di atas lantai. Saya suka cara mereka akan menonton sambil ternganga semasa pertama kali menonton permainan besbol dengan mata terbuka luas dan sarung tangan dipakai, menghayati hayunan kayu pemukul dan bunyi orang makan kacang dan menikmati bau hotdog . Saya suka cara mereka meluangkan masa berjam-jam mengutip debunga di laman belakang dan gubah mereka menjadi hiasan yang cantik untuk makan malam Kesyukuran. Saya suka cara mereka melihat dunia, kerana mereka sedang melihat dunia untuk pertama kalinya. Mempunyai rasa kepekaan adalah tentang menyelami diri tiga tahun anda. Kerana anda semua pernah menjadi tiga tahun. Budak lelaki tiga tahun itu masih sebahagian dari diri anda. Budak perempuan tiga tahun itu masih sebahagian dari diri anda. Mereka ada dalam diri anda. Dan kepekaan hanyalah tentang mengingati anda pernah melihat apa yang anda lihat hari ini untuk pertama kali suatu masa dahulu. Jadi pernah ada ketika apabila ia adalah buat pertama kali anda melihat semua lampu hijau sepanjang jalan pulang dari kerja. Pernah ada pertama kali anda masuk kedalam kedai roti dan menghidu udara kedai roti, atau pertama kali anda terjumpa 20-dolar keluar dari poket lama anda dan kata, "Jumpa duit."
K yang terakhir adalah Ketulenan. Dan untuk yang ini, saya mahu menceritakan sebuah kisah. Mari kita undur ke tahun 1932 apabila, di sebuah kebun kacang di Georgia, seorang bayi comel bernama Roosevelt Grier dilahirkan. Roosevelt Grier, atau lebih dikenali dengan Rosey Grier, membesar dan membesar kepada seorang 300 paun. enam-kaki lima linebacker (posisi penahanan) dalam NFL. Dia yang bernombor 76 di dalam gambar. Ini dia dalam gambar bersama "empat yang digeruni." Mereka berempat berada dalam L.A Rams pada tahun 1960-an anda pasti tak mahu bersaing dengan mereka. Mereka pemain bola yang hebat kerana minat mereka, iaitu menghancurkan tengkorak dan mematahkan bahu di padang bola. Tetapi Rosey Grier turut ada minat yang lain. Jauh didalam dirinya yang jujur, dia amat suka akan sulaman. Dia suka menyulam. Dia kata ia menenangkan diri, membuat dia berasa tenang, ia membawa pergi ketakutannya untuk terbang dan membantu dia bertemu gadis. Itu apa yang katakan olehnya. Maksud saya, dia begitu minat akan sulaman, selepas dia bersara dari NFL, dia mula menyertai kelab-kelab. Dan dia turut menulis sebuah buku bertajuk "Rosey Grier's Needlepoint for Men." (Ketawa) (Tepukan) Kulit buku yang bagus. Jika anda perasan, dia sebenarnya menyulam wajahnya sendiri.
Dan apa yang saya suka tentang kisah ini adalah Rosey Grier merupakan seorang yang jujur. Dan itulah ketulenan yang saya ingin katakan. Jadilah diri anda sendiri dan bangga dengannya. Dan saya rasa bila anda cukup jujur, anda akan mengikut kata hati anda, dan letakkan diri anda di tempat dan situasi dan dalam perbincangan yang anda suka dan menikmatinya. Anda berjumpa orang yang anda suka bersembang. Anda ke tempat yang anda impikan. Dan anda akhirnya turut kata hati anda dan berasa sungguh bersyukur. Jadi itulah dia tiga K.
Sebagai kesimpulan penutup, saya mahu bawa anda semua ke waktu ketika ibu bapa saya berhijrah ke Kanada. Saya tak tahu bagaimana rasanya datang ke negara baru semasa berusia di pertengahan 20-an. Saya tak tahu, kerana saya tak pernah lakukannya. Tapi saya dapat bayangkan yang ia memerlukan perilaku yang bagus. Saya dapat bayangkan yang anda harus peka dengan perkara sekeliling. dan hargai perkara-perkara kecil yang anda mula lihat dalam dunia yang baru. Dan saya rasa anda harus jadi seorang yang tulen, anda perlu benar-benar jujur dengan diri anda untuk melalui apa yang akan didedahkan kepada anda.
Saya ingin menghentikan TEDTalk saya seketika untuk lebih kurang 10 saat sekarang, kerana anda takkan dapat banyak peluang untuk melakukan perkara begini dalam hidup, dan ibu bapa saya sedang duduk di barisan hadapan. Jadi saya ingin minta, jika mereka tidak kisah, untuk berdiri. Dan saya cuma mahu ucapkan terima kasih kepada anda berdua.
Semasa saya membesar, bapa saya suka bercerita kisah hari pertama beliau di Kanada Dan ia merupakan kisah yang hebat, kerana apa yang berlaku ialah beliau turun dari kapal terbang di lapangan terbang Toronto, dan beliau telah disambut oleh sebuah yayasan, yang saya pasti ada antara kamu semua jalankan. (Ketawa) Dan yayasan ini mengadakan majlis sambutan makan tengahari yang besar kepada semua imigran baru di Kanada. Dan bapa saya kata selepas turun dari kapal terbang beliau ke majlis makan tengahari ini dan pelbagai hidangan tersedia. Ada roti, ada jeruk timun yang kecil-kecil, ada buah zaitun, bawang yang comel. Ada kebab berinti ayam turki, kebab inti daging ham, kebab inti daging lembu dan kiub-kiub keju yang kecil. Ada sandwich salad dengan tuna dan sandwich salad dengan telur dan sandwich salad dengan ikan salmon. Ada lasagna, ada kaserols, ada brownies, ada tart marjerin, dan ada pai, bermacam-macam jenis pai. Dan bila ayah saya bercerita, beliau berkata, "Perkara yang paling tak masuk akal adalah, ayah tak pernah nampak satu pun makanan itu sebelum ini, kecuali roti." (Ketawa) Ayah tak tahu apa itu daging, apa tu vegetarian; Ayah makan buah zaitun dengan pai." (Ketawa) "Ayah sungguh tak percaya macam-macam benda yang kita boleh dapat di sini."
Semasa saya berumur lima tahun, ayah saya selalu bawa saya membeli barang di kedai runcit. Dan beliau akan pandang dengan hairan pada pelekat yang ada pada buah dan sayuran. Beliau akan kata, "Lihat, boleh percaya tak yang mereka ada manga dari Mexico? Mereka ada epal yang datang dari Afrika Selatan. Boleh percaya tak yang mereka ada kurma dari Morocco?" Dia tanya, "Kamu tahu tak Morocco tu di mana?" Dan saya jawab, "Saya budak lima tahun. Saya tak tahu pun apa nama tempat ini. Adakah ini A&P?" Dan beliau kata, "Ayah pun tak tahu Morocco tu di mana, tapi mari kita cari." Dan kami beli kurma itu, dan pulang ke rumah. Dan sebenarnya kami ambil atlas di atas rak, dan kami cari tentang negara yang penuh misteri ini. Dan bila kami jumpa, ayah saya kata, "Kamu percaya tak ada orang yang panjat pokok di sana, ambil buah ini, letak dalam trak, bawa ke pelabuhan dan kemudian dibawa belayar merentasi Lautan Atlantik dan kemudian letakkannya ke dalam trak lain dan dibawa sepanjang perjalanan ke kedai runcit kecil tak jauh dari rumah kita, jadi mereka boleh menjualnya kepada kita dengan harga 25 sen?" Dan saya cakap, "Saya tak percaya." Dan beliau pun kata, "Ayah pun tak boleh percaya. Banyak perkara yang hebat. Begitu banyak perkara yang buat kita rasa seronok."
Bila saya berhenti sejenak untuk berfikir, memang benar apa yang beliau katakan; begitu banyak perkara yang buat kita rasa seronok. Kita adalah satu-satunya makhluk yang dikurniakan keupayaan dalam seluruh alam semesta, yang pernah kita lihat, mampu mengalami perkara-perkara sebegini. Maksud saya, hanya kita ada seni bina dan pertanian. Hanya kita mempunyai barang perhiasan dan demokrasi. Kita ada kapal terbang, lebuh raya, hiasan dalaman dan bintang horoskop. Kita ada majalah fesyen, suasana parti di rumah. Anda boleh menonton wayang ngeri dengan raksasa Anda boleh ke konsert dan dengar bunyi gitar yang bingit. Kita ada buku, bufet dan gelombang radio, pengantin dan naik rollercoaster. Anda boleh tidur atas cadar yang bersih. Anda boleh menonton wayang dan dapat tempat duduk yang selesa. Anda boleh bau udara di kedai roti, berjalan dengan rambut yang dibasahi hujan, letupkan plastik bergelembung atau tidur tanpa kebenaran.
Kita ada semua itu, tapi kita cuma ada 100 tahun untuk menikmati segalanya. Dan itu adalah bahagian yang sedih. Juruwang di kedai runcit anda, penyelia di kilang anda, orang memandu jarak dekat dengan kereta anda semasa pulang di lebuhraya, jurujual menelefon anda semasa anda makan malam, setiap guru yang pernah mengajar anda, setiap orang yang pernah terjaga dari tidur di sebelah anda, setiap ahli politik di setiap negara, setiap pelakon dalam wayang, setiap seorang ahli keluarga anda, semua yang anda sayang, semua orang di dalam bilik ini dan anda akan meninggalkan dunia dalam seratus tahun. Kehidupan sungguh menyeronokkan biarpun kita cuma diberi sedikit kesempatan untuk menimba pengalaman dan bergembira saat-saat indah walaupun kecil membuatkan kehidupan terasa sangat manis. Dan buat masa sekarang, dan saat-saat begitu semakin dilupakan, dan saat-saat begitu akan makin, makin, dan makin tenggelam.
Anda tidak akan semuda diri anda hari ini. Dan kerana itulah saya percaya jika anda menikmati kehidupan anda saat ini dengan sikap yang bagus. pilih untuk bergerak ke hadapan dan teruskan kehidupan bila-bila masa kehidupan tidak sebegitu baik, hiduplah dengan kepekaan terhadap isu yang berlaku disekeliling anda, selami diri anda yang berusia tiga tahun itu dan lihatlah kegembiraan yang kecil namun membuatkan hidup dirasakan manis sekali dan jujurlah dengan diri anda sendiri, jadilah diri sendiri dan bangga dengannya, ikutlah kata hati anda dan letakkan diri anda di tempat yang anda suka kemudian saya rasa anda akan lalui sebuah kehidupan yang kaya dan mamuaskan hati, dan saya rasa hidup anda benar-benar hebat.
You can share this video by copying this HTML to your clipboard and pasting into your blog or web page. This video will play with subtitles.
You either have JavaScript turned off or have an old version of the Adobe Flash Player. To view this rating widget you
need to get the latest Flash player.
If your browser allows only "trusted sites" to execute Javascript, you should add the "googleapis.com" domain to your whitelist to allow our Flash detection to work properly.
Got an idea, question, or debate inspired by this talk? Start a TED Conversation, or join one of these:
Blog 1000 'Awesome Things' (Perkara Hebat) oleh Neil Pasricha mendedahkan kita akan nikmat dalam kehidupan seharian, dari isian percuma kepada kain cadar yang bersih. Dalam ucapan tulus daripada hati di TEDxToronto, dia membongkar 3 rahsia (semua bermula dengan K) untuk kita menerajui hidup yang benar-benar hebat.
Neil Pasricha uses the power of blogging to spread a little optimism each day about the awesome things that make life worth living. Full bio ยป
Translated into Malay by Atiqah Najwa
Reviewed by Muazam Hadi Muhammad
Comments? Please email the translators above.
23:42 Posted: Jul 2008
Views 1,512,393 | Comments 162
20:54 Posted: Nov 2007
Views 2,005,340 | Comments 309
17:39 Posted: Jun 2010
Views 1,162,629 | Comments 338
Just follow the guidelines outlined under our Creative Commons license.
This comment will be attributed to . Not ? Sign Out.